29 August 2010

::SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN::


     Musim peperiksaan telah pun menziarahi kita. Semua mahasiswa sedang sibuk membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan pertengahan semester kali ini. Pelbagai luahan,rungutan dan keresahan dapat didengari. Ada yang bagaikan tidak percaya peperiksaan telah menjelang. Tanpa kita sedari juga bermula esok kita akan menjejakkan kaki ke 10 malam terakhir ramadhan. Begitu rahmatnya peperiksaan kali ini kerana jatuh pada 10 malam terakhir ramadhan. Moga-moga dengan kemuliaan yang Allah kurniakan kepada Bulan ramadhan ini dapat kita gunakan untuk beribadah dan mengulang kaji sehabis mungkin.

     Dalam kita sibuk mengulangkaji pelajaran, janganlah kita meninggalkan kewajipan kita sebagai hamba Allah. Sentiasalah kita mengharapkan pertolongan dari Allah. Ingatlah puisi indah dari Ibnu Athaillah yang begitu halus dan dahsyat makna dan maksudnya:

"Salah satu tanda kejayaan di akhir perjalanan adalah kembali kepada Allah di awal perjalanan"

     Bagi seorang yang mencari keredhaan Allah, terdapat permulaan atau bidayah dan terdapat juga akhiran atau nihayah. Permulaan bagi seseorang yang mencari keredhaan Allah adalah langkahnya menjalani kehidupan, dan pengakhirannya adalah ketibaannya di hadapan Allah. Apabila sejak dari awal langkahnya memulakan perjalanan, orang itu sudah benar-benar kembali kepada Allah, berjalan menuju Allah dengan sepenuhnya, makan peluang kejayaannya untuk sampai kepada keredhaan Allah sangat besar. Ini adalah kerana Allah pasti menolongnya sejak dari pertama kali dia memulakan langkahnya. Allah akan menjaganya agar tidak terputus perjalanannya itu dan jatus di pertengahan jalan.

     Akan tetapi jika di awal langkahnya dia tidak kembali kepada Allah, tidak meminta pertolongan Allah, dia akan terlempar kembali ke tempat dia memulakan perjalanannya, dan dia tidak akan sampai kepada Allah. Seorang ulama yang hatinya diterangi oleh  cahaya Allah mengatakan "sesiapa yang menjangka dirinya dapat sampai kepada Allah dengan pengantar selain daripada Allah, maka Allah memutuskan perjalanannya. Dan barangsiapa yang beribadah dengan berpegang kepada kekuatannya sendiri, maka Allah menyerahkan urusan idabahnya kepada kekuatannya sendiri, Allah tidak akan menolongnya.

No comments:

Post a Comment